Wednesday, 6 July 2011

Warkah Buat Adik-Adikku


 Kehadapan adik-adikku, surat ini kutujukan kepadamu saat bicaraku tidak mampu meluahkan segala yang tersirat di hati setulus tulisanku. Maka ku titipkan warkah ini sebagai pengganti diriku.
Adik-adikku, ingat lagi  tak detik pertama kita bertemu beberapa bulan yang lalu? Waktu itu semua masih baru di bumi Kiwi ini. Tergambar diwajah satu persatu riak wajah yang sangat riang, sangat segar dan mekar. Seperti terbitnya matahari dikala fajar, ku lihat sinar-sinar yang bakal akan menerangi  seluruh pelosok alam maya. Pertemuan pertama diatur dirumahku di The Met Apartment. Sebelum kita menjamu selera, kita mendengar hadis Rasulullah saw berkenaan niat. Innama A’malu Binniat… Semoga ianya masih terpahat. Kerana bukan hanya kehadiran dirimu yang aku perlu , tetapi kehadiran hatimu yang menjadi kunci kekuatanku.
Saban waktu terus berlalu. Minggu demi minggu, kita bertemu dan aku dengan kudratku sedaya upaya memberi yang termampu. Aku sedar bahawa terdapat banyak kelemahan dan kekurangan dalam diriku. Namun dihadapanku adalah tonggak masa depan perjuangan ummah. Sekiranya ada yang lebih mampu dan punya waktu, pasti tidakku sanggup memikul amanah dan tanggungjawab ini dibahuku. Kerana aku tidaklah lebih mulia dan suci dari adik-adikku. Aku juga tidaklah lebih faqeh dan faham terhadap ilmu dari adik-adikku. Aku adalah insan yang memerlukan adik-adikku untuk menjadi cermin diriku. Menjadi kekuatan terhadap diriku. Menjadi saham untuk tabung akhiratku
.
Lewat akhir ini, banyak yang kurasakan berubah. Ada adik-adikku yang semakin menjauh dariku. Ada diantara adik-adikku yang tidak mesra seperti dahulu. Ada adik-adikku yang menganggap pelawaanku sebagai paksaan. Aku memohon maaf atas segala kesilapan. Aku tidak berniat mengguris mana-mana hati dan perasaan. Marah atau benci adik-adikku padaku, tidak akan menggugurkan rasa kasih dan sayangku terhadap adik-adikku. Sekiranya ada sesuatu yang boleh aku lakukan untuk memujuk hati adik-adikku supaya kembali dalam tautan kasih sayangku, pasti akan ku cuba sedaya upayaku memenuhi hasrat mu itu. 
Ingatlah bahawa aku pernah menjadi seperti dirimu. Aku juga pernah melalui detik-detik pemberontakan dalam diri bahkan lebih teruk lagi dahulu. Betapa sabarnya naqibku melayan karenahku, tidaklah ku fahami bila mana aku sendiri berada ditempat mereka. Aku mengerti, bukan soal hatiku ini yang perlu dijaga. Bukan soal diriku ini yang ingin dibela, tetapi soal perjuangan dan survival ummah ini yang paling utama. Soal dimana kita dan apa pengorbanan kita dalam membantu perjuangan menegakkan syiar. Perjuangan  yang kita tidak pernah tanya apa balasannya di dunia selain mengharap redhaNya. Berapa banyak pejuang Islam yang akhirnya terkorban mati dibunuh, dipenjara dan diseksa demi menegakkan kalimah Allah di bumi tercinta. Apalah nak dibandingkan dengan usaha kita setakat terkorban hati dan perasaan sahaja. 
Ayuh sudahlah. Tinggalkanlah segala konflik hati dan perasaan. Usah terlalu dilayan kerana kita tidak mahu syaitan mengambil kesempatan. Mari kita kembali bersama bersatu dalam satu saff yang padu. Menongkah arus mengayuh pendayung hingga ke muara sungai. Biar arus deras datang bertalu, tangan digenggam erat jangan sampai ada yang terlerai. Matlamat kita satu. Bermula dengan diriku, dan diri adik-adikku. Kita berdoa semoga Allah membuka pintu dan memberi petunjuk dalam kita mencari arah yang hendak dituju. Ya Muqollibal Qulub, Thabbit Qalbi A’ala  Deenik! 


   

    

No comments:

Post a Comment